Institusi Yang Di-Pertuan Agong Penjaga Perlembagaan | BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
» ARTIKEL » Institusi Yang di-Pertuan Agong penjaga Perlembagaan

Institusi Yang di-Pertuan Agong penjaga Perlembagaan

KEDUDUKAN Yang di-Pertuan Agong satu-satunya jawatan unik di dunia. Yang di-Pertuan Agong dipilih Majlis Raja-Raja dalam kalangan sembilan Raja Melayu bagi tempoh lima tahun, sekali gus tidak memegang jawatan itu seumur hidup seperti raja lain di dunia.

Institusi Yang di-Pertuan Agong sangat signifikan bagi rakyat kerana ia disanjung tinggi dan berperanan penting dalam kestabilan politik, ekonomi serta sosial negara. Ia bukan hanya bersifat ceremonial dan rubber stamp, sebaliknya institusi tertinggi berdasarkan Perlembagaan bagi mengetuai Persekutuan Malaysia.

Menurut Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Tertinggi yang kedudukannya mengatasi semua orang lain di Persekutuan Malaysia dan tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah kecuali di Mahkamah Khas diwujudkan mengikut Bahagian XV Perlembagaan Persekutuan.

Kewujudan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja berperanan sebagai juruaudit tambahan dari segi Perlembagaan seperti dibuktikan dalam Laporan Suruhanjaya Reid yang menyebut peranan sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, pelindung hak baginda, mempertahankan agama Islam, bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan hak kewarganegaraan orang bukan Melayu.

Malaysia mewarisi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen daripada sistem Westminster dari England. Dalam menjalankan tugas, Yang di-Pertuan Agong dikehendaki mendengar nasihat Perdana Menteri.

Baginda tidak diberi kuasa secara Perlembagaan menjalankan tugas sesuka hati, sebaliknya bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri kecuali dalam perkara disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong ialah ketua negara, tetapi bukan ketua badan eksekutif. Kuasa eksekutif itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang diperuntukkan dalam Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan (Perkara 39). Namun, baginda boleh menggunakan budi bicara, melantik Perdana Menteri mengetuai Kabinet.

Bagaimanapun, dalam melantik seseorang Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong perlu memastikan individu dilantik mendapat kepercayaan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen. Selepas pelantikan itu, baginda hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik Jemaah Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen sama ada Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen, beliau perlu meletak jawatan daripada Kabinet.

Apabila Perdana Menteri didapati tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan tidak mahu meletakkan jawatan, undi tidak percaya boleh dibuat di Dewan Rakyat.

Sekiranya undi itu menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah meletak jawatan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Namun, baginda boleh atau tidak, mengikut budi bicara membubarkan Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri. Namun, Perdana Menteri berkuasa memecat menteri Kabinet yang boleh dibuat dengan surat dikeluarkan Perdana Menteri dengan memaklumkannya kepada baginda tanpa perlu kepada perkenan. Ia boleh dirujuk dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim lawan Perdana Menteri [1995] 5 MLJ 193.

Begitu juga, apabila Perdana Menteri meletak jawatan, seluruh anggota Kabinetnya juga akan terungkai. Ini kerana, Perdana Menteri ialah Ketua Kabinet, manakala Kabinet dilantik Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda dalam menjalankan tugas baginda. Kabinet secara kolektifnya bertanggungjawab kepada Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara pembubaran Parlimen. Hak ini tidak perlu diikuti walaupun dinasihati Perdana Menteri. Kuasa perkenan atau tidak adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Dalam menjalankan tugas, Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa perlu memanggil Parlimen untuk bersidang dan hendaklah memastikan persidangan Parlimen tidak melangkaui tempoh enam bulan daripada persidangan lalu. Satu kuasa besar diberi kepada baginda ialah boleh menangguh atau membubar Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa mutlak dalam memperkenankan perisytiharan darurat. Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyebut, Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati keselamatan, kehidupan ekonomi rakyat dan ketenteraman awam tergugat, boleh membuat perisytiharan darurat. Namun, perisytiharan itu tidak semestinya mengikut nasihat Perdana Menteri. Baginda boleh menolaknya.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dan tanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak, selain melindungi kepentingan komuniti lain.

Dalam hubungan dengan kehakiman, Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi tertentu dan mempunyai hubungan dengan badan itu dalam beberapa perkara, antara lain merujuk kepada Mahkamah Persekutuan dalam mendapatkan pandangan mengenai sebarang persoalan Perlembagaan.

Baginda juga berfungsi melantik hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan termasuk Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Borneo, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara.

Baginda juga mempunyai kuasa untuk melucut atau menggantung Hakim Mahkamah Persekutuan tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, selain berkuasa melantik ahli Suruhanjaya Kehakiman dan Undang-Undang.

Yang di-Pertuan Agong juga pemerintah tertinggi angkatan tentera Persekutuan, iaitu jawatan kanan tertinggi dalam struktur pemerintahan angkatan bersenjata Malaysia.

Justeru, sebagai Ketua Negara, baginda berperanan penting dalam memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan betul mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Baginda bertindak sebagai penyemak dan pengimbang supaya ketua bagi ketiga-tiga badan eksekutif, perundangan dan kehakiman menjalankan tugas dengan adil serta penuh tanggungjawab demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

Meskipun Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, baginda mempunyai kuasa besar diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan negara stabil dan aman.

Tanpa prejudis, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara menggantung Parlimen dan mengisytihar darurat bagi memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terpelihara. Ini demi memastikan keamanan, kepentingan dan kesejahteraan rakyat umum terpelihara.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

 

Tarikh Input: 07/02/2024 | Kemaskini: 07/02/2024 | m_bazli

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
SXEbXAf~