Banjir: Berhenti Menyalahkan Alam! | BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
» ARTIKEL » Banjir: Berhenti menyalahkan alam!

Banjir: Berhenti menyalahkan alam!

Usah menyalahkan alam hanya kerana sikap tamak diri sendiri. Hari demi hari kita dikejutkan dengan pelbagai ancaman alam termasuk cuaca panas yang melampau pada awal tahun lalu sehingga September kerana fenomena gelombang haba luar biasa. Agensi Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera (National Oceanic and Atmospheric Administration) (NOAA) turut merekodkan suhu permukaan laut tertinggi pada Julai dalam tempoh 142 tahun.

Ibarat kata pepatah 'hinggap bak langau, titik bak hujan', Malaysia dilanda bah yang menenggelamkan sebahagian besar daripada negara ini sejak dua minggu lalu. Kejadian banjir kali ini antara yang terburuk dalam sejarah bencana di Malaysia sejak 1971. Sehingga 4 Januari 2022, hampir 50 orang maut dan lebih 200,000 mangsa banjir di seluruh negara dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Luluh hati melihat keadaan mangsa dan mendengar luahan hati mereka yang terjejas apabila berkesempatan menjadi sukarelawan membantu mengagihkan barangan keperluan dan aktiviti pembersihan selama dua minggu. Rumah dipenuhi selut tebal, peralatan dan perabot rosak teruk, manakala jumlah mangsa terjejas meningkat.

Belum hilang rasa penat melakukan kerja-kerja pasca banjir, dikhabarkan pula gelombang kedua di beberapa tempat akibat kenaikan air susulan hujan lebat berterusan. Apakah kesudahan episod bencana kali ini, di manakah salahnya? Adakah kita akan terus berada dalam keadaan seperti 'telur di hujung tanduk' berdepan peristiwa sama setiap tahun?

Sebenarnya, kejadian banjir di negara kita bukanlah perkara baharu, ia sudah menjadi kebiasaan terutama di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu, manakala kejadian banjir kilat di pantai barat. Kebanyakan daripada komuniti pesisir pantai juga memiliki sekurang-kurangnya sebuah bot atau sampan. Setiap keluarga juga bersedia menanti musim luruan monsun yang menyebabkan taburan hujan lebih tinggi. Namun, adakah keadaan ini akan berterusan, dibiar dan ditunggu sehingga musibah lebih teruk?

Kerakusan manusia penyebab kemusnahan alam semula jadi

Kekerapan berlakunya bencana alam sejak kebelakangan ini bukanlah kerana faktor semula jadi tetapi berpunca daripada kerakusan manusia yang mengejar kekayaan hingga sanggup mengeksploitasi alam sekitar dengan aktiviti yang hanya menguntungkan untuk jangka masa pendek. Ia bukan sahaja menyebabkan kerugian dari segi kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda malah kemusnahan alam yang kekal selamanya.

Antara kemusnahan yang dilakukan adalah penggondolan kawasan tadahan hujan, kepincangan perancangan guna tanah dan pencemaran tidak terkawal. Aktiviti pembalakan yang semakin membimbangkan setiap tahun mengakibatkan litupan hutan kian menyusut khususnya di kawasan tadahan hujan. Selain itu, kesan pembangunan yang tidak lestari juga boleh mengakibatkan berlakunya pelbagai bencana alam khususnya di kawasan tanah lembap seperti tanah becah, paya dan tasik.

Aktiviti pembangunan bandar yang tidak terancang juga adalah antara faktor utama berlakunya banjir dan sering dikaitkan dengan kemusnahan kawasan tadahan air. Hutan mempunyai fungsi sangat penting bagi menghalang bencana banjir. Struktur fizikal pokok termasuk batang dan akar adalah penghalang semula jadi bagi menghalang air hujan menimpa terus ke tanah, menyebabkan pengurangan signifikan terhadap kelajuan aliran air hujan yang mengalir ke sungai seterusnya mengurangkan risiko limpahan sungai ketika hujan lebat.

Pada masa sama, susur akar juga mampu meningkatkan cengkaman tanah yang boleh menyebabkan pergerakan tanah ke dalam sungai diperlahankan, ia boleh mengurangkan risiko hakisan sungai dan tanah runtuh sekaligus mengurangkan kandungan air dalam tanah dengan peningkatan kadar penyerapan air hujan ke dalam akar pokok.

Longgokan sampah, kayu dan batu di dalam sistem saliran boleh mengganggu dan memperlahankan aliran air serta tidak mampu mengalirkan air hujan keluar dengan cepat sekiranya berlaku hujan lebat secara tiba-tiba. Ketidakupayaan sistem perparitan untuk menampung air yang banyak dan arus deras juga boleh menyebabkan risiko air melimpah keluar ketika hujan. Keadaan ini mungkin disebabkan mendapan tanah akibat hakisan dan pengumpulan sampah atau saiz parit yang kecil.

Di samping itu, aktiviti manusia yang semakin rancak terutama di kawasan bandar turut mempengaruhi sistem iklim semula jadi dan menyebabkan pelbagai kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa perubahan iklim dan pemanasan global adalah antara penyumbang utama kejadian banjir yang semakin kerap berlaku.

Kajian semula pengurusan risiko

Secara keseluruhannya, sistem pengurusan risiko mesti dikaji semula bagi memastikan kejadian banjir seperti yang berlaku sebelum ini tidak berulang. Pihak kerajaan juga perlu akur bahawa kekerapan kejadian bencana alam ini adalah akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal. Hal ini memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengenal pasti punca berlakunya bencana dan meneliti langkah pencegahan yang lebih strategik dan berstruktur.

Selain itu, perbanyakkan program dan kempen untuk meningkatkan kesedaran awam bagi menghadapi bencana. Perlu bersedia dan peka dengan isu-isu semasa serta amaran yang dikeluarkan kerajaan. Setiap individu juga perlu mempunyai kesedaran untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Mempunyai kesedaran bahawa setiap tindakan boleh menjejaskan kualiti alam sekitar sekaligus menyebabkan peningkatan frekuensi berlakunya bencana alam seperti banjir.

Saya berpendapat sekiranya seseorang itu membiarkan perkara yang membahayakan diri dan orang lain tanpa melakukan apa-apa walau jelas mengetahui puncanya adalah umpama merancang untuk membunuh diri dan keluarganya sendiri.

Di kesempatan ini juga saya ingin memanjangkan rasa simpati kepada mangsa banjir semoga terus cekal menghadapi tempoh mencabar ini.

Penghormatan saya juga kepada sukarelawan yang membantu mangsa banjir. Saya sendiri berpeluang berganding tenaga dengan beberapa sukarelawan yang datang beratus kilometer semata-mata untuk membantu operasi menyelamat dan menjadi sukarelawan aktiviti pasca banjir.

Penulis Mogesh Sababathy adalah aktivis alam sekitar dan pengasas bersama Projek Ocean Hope

Disiarkan pada: Januari 7, 2022 @ 6:15am

 

Tarikh Input: 08/11/2023 | Kemaskini: 08/11/2023 | m_bazli

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
SXEcEAi~